Posted by: bertamadun on: 15 Oktober, 2008
Mohd Sabri Said
Tue | Oct 14, 08 | 12:58:13 pm MYT
KEPALA BATAS, 14 Okt (Hrkh) – Ahli Jawatankuasa Persatuan Hoki Negeri Pulau Pinang, V. Jayanandhan yakin Kepala Batas mampu menjadi ‘lubuk’ melahirkan pemain hoki bertaraf dunia sekiranya pembangunan membabitkan sukan tersebut tidak diabaikan.
Beliau juga memuji langkah Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ismail Sabri Yaakub ketika melawat Trengganu apabila mengeluarkan kenyataan salah satu daerah di negeri itu diberi penumpuan melahirkan pelumba basikal ekoran terdapat banyak pelumba kebangsaan di situ.
“Apa yang dikatakan oleh Menteri Belia dan Sukan memang tepat. Jika ada daerah yang berjaya mencungkil bakat yang boleh menyerlah dalam bidang sukan tertentu kerajaan kena meningkatkan inflastruktur bagi kemudahan mereka berlatih bukan membiarkan ia rosak begitu sahaja,” tegasnya.
Menurut V. Jayanandhan yang juga Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Persatuan Hoki Negeri, Kepala Batas nyata boleh berjaya merealisasikan impian negara itu kerana rata-rata pemain yang berkebolehan berasal dari sini.
Lagipun katanya, johan hoki peringkat negeri dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Hashim Awang manakala peringkat Sekolah Menengah dari Sekolah Dato’ Abdul Kadir yang mana keduanya dari Kepala Batas. Kemenangan itu bukan sekali malahan berturut-turut sekali gus membuktikan Kepala Batas wajar ditingkatkan dengan kemudahan padang yang lebih baik, katanya.
“Bila jadi macam tu kami nak main atau melatih mereka agak sukar kerana padang di Komplek Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) terkoyak dan perlu dibaiki segera. Lebih-lebih lagi menjelang kejohanan Hoki Merdeka enam dan tujuh sebelah Disember ini,” kata beliau.
Katanya, memandangkan padang hoki memerlukan karpet yang bermutu maka sepatutnya MPSP mengeluarkan peruntukan bagi membantu pembangunan sukan berkenaan.
Dulu sambungnya, tidak mengapa hoki boleh bermain di padang berumput tetapi kini setelah wujud peraturan dengan kemodenan baru ia digalakkan di atas karpet yang dikhaskan.
“Di Komplek Sukan MPSP apa yang jadi di kotak ‘D karpetnya terkoyak dan sukar untuk memukul bola ke gol. Tambahan pula dalam permainan hoki gol dikira sekiranya pukulan di buat dalam kotak ‘D’,” terang beliau.
MPSP sambungnya, jangan abaikan tanggungjawab ini seandainya mahu melihat permainan hoki dipertingkatkan kembali di Pulau Pinang atau di Malaysia.
Jika pembangunan sukan tidak digalakkan bagaimana ia boleh melahirkan bakat yang benar-benar menyinar pada suatu hari nanti, katanya. – mns_
Sidang Rakyat